4 Prinsip Asas Keusahawanan
Keusahawanan bukan hanya menjana wang
Pelajar A menjual dadih atau keropok di kantin universiti. Manakala Pelajar B pula tidak menjual apa-apa pun. Siapakah yang sebenarnya merupakan seorang usahawan? Tiada siapa dapat tentukan. Menjual atau tidak sesuatu barangan tidak menjamin seseorang itu menjadi usahawan. Sebagai contoh Bank Grameen menjadi pelopor kewujudan Kredit Mikro Perbankan. Kredit ini bertujuan untuk tingkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat. Ini ialah contoh keusahawanan tanpa berlandaskan keuntungan semata-mata. Ianya sama sekali tidak menyentuh penjualan produk. Perkara ini dinamakan keusahawanan sosial.
Keusahawanan bermula dengan inovasi, diteruskan kemahiran dan pengetahuan.
Seorang usahawan hendaklah bermula dengan idea yang bernas, lain dari yang lain serta idea yang dinamakan ‘out of the box’. Andaikan penjualan dadih amat popular dikalangan pelajar Universiti Putra Malaysia. Anda pula berkira-kira untuk turut serta menjual dadih tanpa ciri pembaharuan, inovasi serta idea yang baru, maka anda bukanlah seorang usahawan yang bijak.
Sebagai contoh ,negara Amerika Syarikat merupakan negara nombor satu di dalam inovasi produk dan inovasi proses perniagaan. Siapa yang tidak terliur melihat keunikan produk iPod dan iPhone jenama Apple yang keluarannya selari dengan perkembangan trend semasa. Ya ! Tepat sekali, idea untuk menghasilkan jenama baru handphone tidak mencukupi sekiranya tiada fungsi baru, design baru serta teknologi yang termaju. Kemahiran pengurusan dan pengetahuan yang luas tidak dapat dipisahkan untuk merealisasikan sesuatu idea menjadi kenyataan.
Kenapa banyak orang gagal dalam merealisasikan idea ? Mereka gagal kerana tidak memiliki kemampuan, keinginan yang tinggi serta tekad. Sekiranya anda merasakan anda merupakan seorang usahawan, tanyakan pada diri sendiri adakah anda kreatif? Cukupkah pengetahuan dan pengalaman ? Dapatkah anda tukarkan impian menjadi kenyataan?
Keusahawanan bukanlah apa yang anda lakukan, tetapi bagaimana anda melakukannya …
Apakah perbezaan perniagaan restoran McDonalds berbanding gerai-gerai burger di tepi jalan? Mereka tetap jadikan produk makanan burger sebagai perniagaan utama. Apa yang berbeza ialah restoren McDonald mempunyai sistem pengurusan pemakanan tersendiri yang ‘standard’, model pemasaran operasi , logistik, sumber manusia dan sebagainya. Jadi perniagaan restoren McDonald dipanggil perniagaan francais. Jadi McDonalds bukanlah menjual burger semata-mata. McDonalds sebenarnya menjual peluang perniagaan, sistem pengurusan yang menyeluruh serta terbukti melalui lesen francais yang dikeluarkan kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Jadi, hanya kerana menjual burger, dadih atau keropok di karnival usahawan bukanlah keusahawanan. Tetapi bagaimana anda menjual, system yang digunakan, model perniagaan yang disyorkan membuatkan anda menjadi seorang pengusaha yang berjaya.
Keusahawanan adalah sebuah sikap, mentaliti dan cara berfikir
Dalam tiga isi utama sebelumnya, saya menekankan tetang kepentingan idea, semangat keusahawanan, kemahiran serta pengetahuan dan sistem. Saya tidak langsung menyentuh tentang wang, produk ataupun pelaburan. Saya ingin tegaskan disini sebelum anda memikirkan hal-hal tadi, harus diingat, keusahawanan ialah gabungan sikap mentaliti serta mampu membuat keputusan dalam keadaan tenang. Sekiranya perkara ini dapat anda amalkan, nescaya anda akan sukses. Tapi jika anda gelojoh, tidak sabar dan ingin mencari jalan singkat, anda akan mudah tertipu dengan MLM, skim BuluhMas, skim cepat kaya dan sebagainya.
Fahamilah 4 prinsip ini dan gunakannya untuk meniala sebarang inisiatif anda untuk menjadi seorang usahawa, kerana semua orang akan menawarkan anda peluang perniagaan yang memberi pulangan lumayan, tetapi adakah ia betul-betul sesuatu perniagaan, atau percubaan untuk memngeksploitasi masa dan wang anda.
Usahawan Belia Boleh!
